Sunday, 26 September 2021

PPN 2.0 Offroad @Widuri + SCT Loop 1 - 26 September 2021

Minggu nie berkayuh "offroad" bersama otai-otai legend Batang Kali di trail Tasik Widuri dan seterusnya ke Bukit Widuri dan Loop 1 SCT. Seramai 70 orang pengayuh pada pagi ini. Sungguh meriah seperti mini jamboree pulak. Maklumlah dah lama tak berjamboree. Kayuhan kali ini dalam cuaca yang panas terik terutama semasa tengahari. Rasanya dah lama tak berkayuh dalam situasi begini. Memang terasa azabnya. 

Kayuhan bermula di kedai Aziz dan ada juga yang berkumpul di pintu masuk Tasik Widuri. Pelbagai group basikal yang datang untuk menjayakan kayuhan pada kali ini. Namun terdapat jugak pengayuh yang hanya berkayuh di Tasik Widuri tanpa meneruskan trail yang lain. Jarak yang panjang serta terdapat banyak pendakian yang memenatkan di Loop 1 menyebabkan ramai yang menarik diri. Daripada 70 orang pengayuh, hanya tingga 40 orang sahaja yang meneruskan kayuhan. Yang lain kembali semula ke starting point.


Bersama otai-otai legend Batang Kali.... Bro Remy & Abang Ajis Bomba....awal-awal penglibatan dalam dunia mtb, selalu berkayuh dengan dia orang disekitar Batang Kali, Ulu Rening dan juga Kuala Kubu Bahru....

Berkumpul di kedai Ajiz....untuk bersarapan pagi dan seterusnya memulakan kayuhan...

Sudah ramai yang berkumpul.....dan yang lain telah bergerak ke pintu masuk Tasik Widuri....

Breifing daripada Tuan Sabri berkaitan dengan laluan trail pada pagi ini....dan seterusnya doa daripada Tuan Haji Azham....

Laluan trail di Widuri agak santai dan redup...manakala di Loop 1, terdapat banyak pendakian dan semestinya di dalam keadaan panas terik...

Kayuhan bermula pada pukul 8.15 pagi....dengan kayuhan road sejauh 2km menuju ke Tasik Widuri...


Dah lama tak berkayuh bersama Jefri @David....

Geng Leha Rider ada.....JiwaBasikal pun ada..... dan ramai lagi...

Baru habis layan trek Tasik Widuri....lepas nie layan singletrail Bukit Widuri pulak...

Bergambar kenangan dulu...bukan senang dapat berkumpul semula seperti ini....

Check point sebelum memasuki Loop 1 SCT.....refill air dulu...nak makan pun boleh...ada nasi lemak, pisang dan juga kuih....

Orang kuat SCT.....

Ada 16km lagi yang perlu dihabiskan....azab laluan dekat sini....tersesat semasa hendak keluar dari trail ini disebabkan keliru dengan simpang yang terdapat sebelum memasuki ladang kelapa sawit....terpaksa meminta bantu dari Tuan Sabri, jika tidak...tak tahu pukul berapa keluar dari trail....dulu pun penah tersesat dekat laluan ini...dapat keluar dari trail pukul 3 petang...

Muka dah barai dah.....hari semakin panas terik....terasa bahang matahari....kayuhan panjang lagi....

Laluan berselut dengan lumpur.....kawasan ini berhampiran dengan laluan air...menyebabkan ia tenggelam jika berlaku hujan lebat....mengharungi lumpur sehingga ke paras lutut...

Jarak 42km yang memenatkan....dah lama tak rasa letih seperti ini....mungkin dah lama sangat berehat, sehingga kurang stamina....

Next time....repeat lagi....kali ini kena bawa air banyak sikit.....

Saturday, 18 September 2021

PPN 2.0 Solo Road Ride @BB-Sg.Chilling - 18 September 2021

Minggu ini kayuhan solo dari Bukit Beruntung ke Sungai Chilling. Dah lama tak berkayuh ke sana disebabkan PKP yang bermula pada June yang lalu. Terserempak dengan ramai pengayuh pagi ini semasa menuju ke Empangan Kuala Kubu Bahru. Kalau berkayuh di sini, tak sah kalau tak bergambar di pintu masuk empangan dan di dalam kawasan empangan. Kapasiti air yang maksimum ketika ini disebabkan limpahan hujan yang kerap turun di daerah Hulu Selangor. Niat di hati hendak terus balik setelah sampai di Sungai Chiling, namun disebabkan mileage masih belum mencukupi, terus lajak ke Kerling sebelum berpatah balik di Petron Kerling.

Kayuhan pagi ini dalam suasana mendung dan redup disebabkan hujan lebat yang turun pada awal Subuh menyebabkan kayuhan kali ini lebih bertenaga tanpa panas terik sinaran matahari. Setelah hujan berhenti, kayuhan bermula pada pukul 7.30 pagi dengan keadaan jalan yang basah serta bertakung dengan air. Kerap mengelak lopak-lopak air yang berada di atas jalan. Jalan pun agak licin terutama apabila berada di atas garisan putih di atas jalan. Lebih berhati-hati kali ini kerana banyak kenderaan pada pagi ini. 


Kayuhan mencari extra mileage bagi persediaan untuk kayuhan century ride yang akan datang....lagi pun cuaca memang mantap pada pagi ini...mendung serta redup...memang sesuai untuk kayuhan jarak jauh...

Solo jea kali ini.....layan perasaan jea...

Setelah penat berkayuh dari Bukit Beruntung melalui Perodua-Sungai Choh dan seterusnya Ampang Pecah...maka sampai lah di Empangan Kuala Kubu Bahru....ada beberapa pengayuh yang sudah sampai dan berhenti berehat di sini....ada yang meneruskan kayuh dan ada juga yang berpatah balik....

Signboard ada berubah sikit.....

Kapasiti air maksimum....aman damai di sini...tapi tak berapa berangin...kalau angin sepoi-sepoi...lagi lah shahdu...

Jambatan Pertak.....tak ada kaki pancing kat atas jambatan nie... nampak banyak kenderaan yang masuk ke simpang Perkampungan Orang Asli Pertak...mungkin berkelah di sana...namun hiking masih belum dibenarkan lagi...jangan cuba-cuba untuk masuk secara haram, buruk akibatnya nanti....kalau banyak duit boleh bayar saman, tak mengapa....dipersilakan...

Cantik view dekat sini....nampak ramai kaki pancing berada di tepi tasik empangan....paras air tinggi, mesti banyak ikan dekat sini....

Pintu masuk ke Sungai Chilling.....banner notis penutupan Sungai Chilling masih lagi terpasang....ternampak ada penggunjung yang telah dihalau keluar dari sini....masih lagi berdegil walaupun terpampang besar banner yang mengatakan bahawa Sungai Chilling masih lagi ditutup untuk penggunjung....

Terdapat 2 gerai menjual makanan ada di sini..ramai penggunjung berkelah di sungai di bahagian empangan....kawasan ini dibenarkan...

On the way nak balik....terlajak ke Kerling pulak sebab nak cukupkan mileage...target nak dapatkan 100km....cuaca redup jangan dipersiakan....

Buat u-turn di Petron Kerling.....malas nak lajak sampai Tanjung Malim...takut barai lah pulak....

Dari simpang ini boleh juga menuju ke Lembah Beringin....perkena mee udang pun ok jugak...

Semasa balik...singgah dulu Petronas KKB.....refill air dan breakfast dulu...perut terasa lapar lah pulak....kayuhan  masih lagi berbaki 25km lagi.....lepas ini nak kena layan dragon back pulak....

Pintu masuk Sirim Rasa.....sunyi laluan di sini....

Tercapai jugak target untuk 100km.... harap-harap lepas ini boleh terus century ride pulak....Loop Sungai Tengi dalam perhatian....nak repeat balik laluan ini.....last year ada kayuh dekat loop nie...tahun ini belum lagi....persediaaan mental kena kuat...sebab banyak laluan berbukit di sini....

Next plan....nak renew lesen Fraser Hill pulak...tahun nie belum renew lagi....dah lama tak rasa udara segar di atas puncak....next target...."Lock".....

Tuesday, 14 September 2021

Kayuhan PPN 2.0 @Loop KKB - 12 September 2021

Minggu ini kayuhan road yang pertama selepas PKP yang bermula pada awal June yang lalu. Disebabkan negeri Selangor telah mula memasuki Fasa 2 PPN pada 10 September yang lalu, terdapat kelonggaran yang diberikan untuk aktiviti berbasikal dan juga sukan outdoor yang lain. Sudah boleh berhiking ketika ini tetapi perlu memohon permit daripada Jabatan Hutan serta melalui SOP yang ketat. Disebabkan itu, masih belum berhajat untuk berhiking disebabkan terdapat kekeliruan tentang kebenaran yang diberikan oleh pihak Jabatan Hutan. Oleh itu berkayuh sahajalah. 

Kayuhan kali ini secara berduet bersama Anas dari Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bahru sambil bersarapan pagi di sana. 


Sudah lama tak berkayuh...terasa letih dan sakit badan....maklumlah dah lama sangat berehat.... kayuh pun macam siput jea...

Cuaca yang hujan renyai-renyai di awal pagi banyak membantu semasa kayuhan...kerana tidak berapa panas dan mendung sepanjang kayuhan....

Climbing selepas Antara Gapi....nasib baik cuaca baik hari ini...

Banyak kenderaan pada pagi ini....jalan agak sibuk dengan kenderaan...mungkin disebabkan kelonggaran merentas daerah telah ditarik-balik menyebabkan ramai yang keluar membawa keluarga setelah terperap di rumah lebih kurang 3 bulan...

Laluan di Ampang Pecah jugak sibuk dengan kenderaan....terdapat juga kenderaan mewah yang berlumba di laluan ini....

Terserempak dengan ramai pengayuh basikal pada pagi ini....peluang untuk berkayuh tidak dilepaskan begitu sahaja....berselisih dengan geng roadbike...mountain bike serta folding bike...

Dine-in di gerai bawah pokok di KKB.....dah lama tak bersarapan di sini...ramai pengunjung yang bersarapan di sini....ramai yang bersama keluarga...

Menuju balik ke Bukit Sentosa.....berhadapan dengan Sirim Rasa....

Disini kenderaan tidak banyak....walaupun cahaya matahari mulai bersinar...namun masih belum panas terik lagi...jam sudah menunjukan pukul 11 pagi....nasib baik masih belum panas, lepas ini nak layan laluan roller coaster berbukit pulak...

Hanya mampun untuk 65km sahaja....jadi lah buat permulaan....baru nak berkayuh balik....bukan mudah untuk dapatkan semula stamina....berat badan pun dah naik....

Minggu depan tambah mileage lagi.....next plan nak kayuh century ride pulak....dah lama tak buat kayuhan endurance.....

Saturday, 11 September 2021

PPN 1.0 Ride @Tasik Widuri & Bukit 2 Ringgit Trail - 5 September 2021

Setelah sekian lama tidak meng"update" blog ini disebabkan ketiadaan aktiviti berbasikal serta hiking akibat daripada perintah Kawalan Pergerakkan yang telah dikuatkuasakan semenjak 1 June yang lalu. Kelonggaran telah mula diberikan oleh pihak kerajaan setelah kadar penularan Covid-19 berkurangan dan kadar populasi penduduk Lembah Kelang yang telah mendapatkan vaksin bertambah. Pembuka tirai kayuhan dimulakan di trek Widuri serta Bukit 2 Ringgit. Setelah hampir 3 bulan tidak berkayuh, badan masih lagi dalam mood berehat maka kayuhan santai sahaja pada kali ini.

Kayuhan bermula pada pukul 8 pagi setelah berkumpul di pintu masuk Tasik Widuri. Walaupun lama tidak berkayuh di sini tetapi keadaan trail masih lagi ok tanpa bersemak samun. Kayuhan mengelilingi tasik dan seterusnya menuju ke Bukit 2 Ringgit. Kayuhan  tanpa lepak minum seperti kebiasaan agak janggal sedikit. Jika dulu boleh lepak minum sambil berborak sebelum balik namum kali ini tiada yang melepak selepas habis berkayuh.


Kayuhan selepas PKP...setelah hampir 3 bulan tidak berkayuh....

Laluan trail santai sahaja....walaupun single trail namun keadaan laluan agak terjaga tanpa semak samun....mungkin laluan masih digunakan oleh penduduk sekitar untuk menoreh getah kerana terdapat juga pokok-pokok getah di sini...

Lepak rehat dulu....brother Aloi dengan suit dan basikal downhill...

Geng Santa Cruz..... Nomad-Bullit-Superlite

Kayuhan sejauh 4km mengelilingi Tasik Widuri....ramai jugak yang bersantai di tepi tasik di waktu pagi bersama keluarga...

Ketenangan Tasik Widuri di waktu pagi.....aman dan damai...

Menuju ke Bukit 2 Ringgit pulak....mendaki dari Telipot...tidak sampai ke puncak...turun downhill sehingga ke Pulapol Bukit Sentosa... jika hendak ke puncak pun bukan boleh berkayuh disebabkan kecuraman bukit yang sememangnya sukar...

Bertiga sahaja...yang lain tidak meneruskan kayuhan...terus balik....

Cukuplah mileage...21km jea....next week kayuh lagi....nak cari stamina dulu baru boleh buat kayuhan endurance...

Dah lama tak berkayuh memang terasa letih....maklumlah dah lama sangat berehat...